
SEKAPUR SIREH SEULAS PINANG
dan Salam Sejahtera
Bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah dan rahmat-Nya dapat kita sama-sama berganding bahu dalam mendidik anak bangsa yang sudah pastinya akan lebih mencabar tahap keilmuan dan profesionalisma kita sebagai warga pendidik bagi tahun 2015 ini.
Ribuan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua warga Sekolah Kebangsaan Kerambit yang telah bersama saya berganding bahu dan tenaga dengan sedaya upaya menaikkan nama sekolah dalam peperiksaan UPSR 2014, walaupun keputusannya tidak memberansangkan berdasarkan beberapa kelemahan yang telah saya kenalpasti. Harapan saya agar semua guru tidak luntur semangat, untuk terus berusaha gigih agar dapat menghasilkan keputusan yang membanggakan bagi tahun 2015, dan semestinya memerlukan komitmen dua kali ganda dari semua warga SK Kerambit.
‘Laman Sesawang’ ini disediakan dengan tujuan semoga segala maklumat dan kandungan yang ada di dalamnya dapat dijadikan panduan bagi mencapai misi dan visi sekolah seterusnya mencapai misi dan visi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melahirkan sekolah unggul dengan membangun potensi individu melalui pendidikan berkualiti.
Kita adalah penggerak kepada hasrat kerajaan terutamanya dalam melaksanakan dasar- dasar dan matlamat kerajaan dalam pendidikan. Kerja secara kumpulan amat diperlukan untuk tujuan itu. Jika berjaya bukan seorang yang mendapat nama dan jika gagal juga bukan seorang yang malu. Berat sama kita dipikul, ringan sama kita jinjing.
Percayalah, Komitmen tuan-puan yang biasa hanya akan menghasilkan murid yang biasa- biasa tapi jika tuan-puan inginkan keputusan murid yang luar biasa, seharusnya tuan-puan berusaha ke arah guru yang luar biasa. Jadilah diri kita seorang guru yang sentiasa didoakan oleh murid- muridnya. Terima kasih tidak terhingga kepada semua sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menerbitkan buku ini. Semoga komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan diredhai Allah dan bakal membuahkan hasil yang memberansangkan pada tahun ini.
Sekian,terima kasih.
ROSLAN BIN ABDUL LATIFF
Guru Besar
SK Kerambit
12 Januari 2015


