
Sekolah Kebangsaan Kerambit telah dibuka pada tahun 1967. Sekolah ini adalah asalnya dibina hanyalah satu bangunan yang mengandungi 3 bilik darjah dan 1 stor. Sekolah ini adalah sekolah di tepi landasan keretapi yang menjadi pengangkutan utama pada masa itu. Sekolah ini membangun bersama kepesatan pembangunan kampungnya yang mula terdedah kepada dunia luar ekoran pembinaan jalan utama Kuala Lipis – Jerantut.
Pada Tahun 1985, sebuah sekolah baru 2 tingkat telah dibina. Bangunan baru ini mengandungi 3 bilik darjah, pejabat Guru Besar dan bilik guru. Sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan pertambahan bilangan muridnya, sekolah ini telah dibangunkan lagi 2 bilik darjah dan satu bangunan pra sekolah. Kemuncak pembangunannya ialah tesergam gagah bangunan 4 tingkat pada tahun 1998.
Sekolah ini menampung murid dari beberapa buah kampung sekitar kampung Kerambit iaitu Kampung Relai, Kampung Macang Berguling, Kampung Putu, Kampung Sungai Lik, Kampung Lentang, Kampung Pasu, Kampung Beluan, Kampung Tanjung Buluh dan Kampung tanjung Yong.
Murid ke sekolah dengan pelbagai cara seperti berkereta, motosikal, berbasikal dan berjalan kaki. Sementara, latar belakang keluarganya terdiri daripada penoreh getah, pekerja lombong, petani dan peladang. Sebilangan kecil terdiri daripada anak-anak guru, pekerja Felcra dan anggota Polis.
Semua kemudahan dan infrastruktur mencukupi bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. Bilik khas seperti Makmal Sains, Bilik BBM, Bilik KSSR dan lain-lainnya juga disediakan. Dengan peredaran masa dan pertambahan populasi penduduk, kini sekolah ini mempunyai seramai 254 orang murid dan tenaga kerja guru seramai 21 orang serta dibantu oleh 4 orang staff.
Kini, sekolah ini telah dipimpin semula oleh bekas Guru Besar yang merupakan seorang pengurus sekolah yang berwawasan dan berkaliber iaitu Encik Roslan Bin Abdul Latif yang mula menerajui kepimpinan sekolah mulai pertengahan tahun 2014.